Friday 2 September 2011

HIKMAH PUASA 6

Pelengkap Puasa Ramadhan
Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah pelengkap dan penyempurna pahala dari puasa setahun penuh. Penyempurna dari kekurangan, membawa maksud, walaupun hukumnya sunat, pada hari Kiamat nanti perbuatan-perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan-perbuatan sunnah ini.

Menyediakan sistem pencernaan
Selama sebulan sistem pencernaan kita berehat pada waktu siang. Kedatangan bulan Syawal boleh mendatangkan kejutan bagi sistem pencernaan kita, tambahan apabila disajikan dengan pelbagai juadah di dalam pelbagai majlis yang biasa masyarakat kita lakukan di bulan Syawal ini. Maka, puasa 6 ini memberi peluang kepada sistem pencernaan kita yang telah direhatkan tadi untuk bertugas secara beransur-ansur.

Amalan Ramadhan tidak terputus
Antara manfaat lain berpuasa 6 adalah segala amal yang dilakukan oleh seseorang itu di dalam bulan Ramadhan, untuk mendekatkan diri-Nya dengan Allah, tidak akan terputus setelah berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama seseorang itu masih hidup. Ini juga mengajar kita untuk beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Tanda syukur rahmat bulan Ramadhan
Berpuasa di bulan Ramadhan mendatangkan maghrifah atas dosa masa lalu. Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan akan menerima ‘ganjaran’ di bulan Syawal – maka berpuasa di bulan Syawal adalah seperti tanda mensyukuri ganjaran yang diterima ini. Ia juga sebagai tanda syukur atas segala nikmat, pertolongan dan pengampunan yang telah diberikan oleh-Nya dalam bulan Ramadhan. Dan atas rasa cintanya terhadap ibadah puasa di bulan Ramadhan, ia tidak merasa bosan, berat atau jenuh apalagi benci berpuasa Ramadhan – lantas meneruskannya dengan berpuasa lagi selama 6 hari di bulan Syawal.


No comments:

Post a Comment