Monday 17 October 2011

Rancangan Makanan Tambahan


PENGENALAN

Program Rancangan Makanan Tambahan dilaksanakan bertujuan membantu seseorang murid sekolah rendah daripada kalangan keluarga yang miskin. Program ini mensasarkan untuk memberi makanan tambahan secara imbuhan sebanyak 25%-30% daripada keperluan hariannya. Rancangan ini merupakan satu daya usaha yang bersepadu dan selaras dengan usaha-usaha lain yang berkaitan dengan kesihatan dan pemakanan murid tersebut. Fokus utama pelaksanaan RMT di sekolah adalah untuk meningkatkan taraf pemakanan dan kesihatan murid. Golongan sasar yang berkelayakan untuk menikmati RMT ini adalah murid-murid yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, murid-murid yang menunjukkan tanda-tanda salah pemakanan serta murid yang rumahnya jauh dari sekolah.

OBJEKTIF

Terdapat beberapa objektif pelaksanaan RMT iaitu :

(i)         Memberi makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah bagi memperbaiki
keadaan kesihatan selaras dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN).
(ii)        Membantu mengatasi masalah pertumbuhan badan dan kekurangan tenaga dengan
memberi makanan yang berzat dan seimbang.
(iii)       Menyelenggarakan pendidikan kesihatan dan pemakanan secara tidak langsung.
(iv)       Menggalakkan penyertaan dan penglibatan masyarakat dalam usaha-usaha sekolah mengelolakan RMT.
(v)        Mengendalikan tabiat bersopan-santun, bertimbang rasa, berdisiplin dan amalan-amalan yang diinginkan berkaitan dengan kebersihan diri, kebersihan makanan dan kebersihan alam sekitar.

 
RASIONAL

Dapatan kajian dan laporan oleh Kementerian Pendidikan yang menjurus kepada pelaksanaan
RMT ini diteruskan adalah :
(i)         15-20% dari jumlah murid yang datang ke sekolah tanpa sarapan atau makan tengah hari di rumah dan 116 daripada 113 yang dikenalpasti mengalami masalah kelaparan.
(ii)        Pemakanan yang salah serta serangan penyakit menimbulkan masalah dari segi pembesaran dan pencapaian dalam pembelajaran.
(iii)       35% murid sekolah rendah menunjukkan tanda-tanda salah pemakanan.