Sunday 1 May 2011

LUKISAN

Lukisan merupakan bentuk seni halus tertua sekali. Lukisan adalah proses melukis dengan menggunakan teknik lorekan ton, melakar garisan dan gosokan menggunakan alat tulis yang kering ke atas sesuatu permukaan. Komponen alat dan media yang digunakan ialah pensel, arang, pen, pensel warna, kertas dan kanvas. Lukisan boleh dihasilkan menggunakan dua cara iaitu:

  1. Lukisan tanpa warna
  2. Lukisan berwarna
Lukisan tanpa warna dihasilkan menggunakan alatan melukis seperti pensel, arang, pen dan dakwat, pen teknikal dan sebagainya. Bagi lukisan berwarna, media yang digunakan ialah pensel warna, krayon, pastel dan sebagainya. Lukisan boleh dihasilkan menggunakan garisan, atau ton atau kedua-duanya sekali. Ton boleh dihasilkan dengan menggunakan garisan-garisan, titik-titik, lorekan dan gosokan. Lukisan siap menggunakan arang, pensel, pastel dan krayon biasanya disapu atau disembur menggunakan pemati (fixative) supaya kesan lukisan tidak akan hilang apabila disentuh. Salah satu jenis pemati ialah “spray clear”.

SEJARAH SENI LUKIS

Sejarah seni lukis dunia bermula dan berkembang sejak zaman pra sejarah lagi. Terdapat tiga peringkat perkembangan iaitu :

Zaman Paleolitik yang bermula pada tahun 2,500 SM hingga 1,500 SM. Pada zaman ini orang-orang Paleolitik tinggal di dalam gua-gua batu pada musim sejuk. Mereka menghabiskan masa dengan meniru cakaran yang dibuat oleh beruang pada dinding gua semasa menajamkan kukunya. Mereka melukis garisan-garisan selari dan berbelok-belok dengan menekankan jari dan alat-alat yang tajam di bahagian-bahagian dinding gua yang lembut. Cetakan berwarna dibuat dengan menggunakan tapak tangan atau melukis garisan luar tangan mereka dengan warna merah dan hitam. Lukisan yang dibuat  pada zaman ini kebanyakannya menggunakan imej bintang seperti gajah, rusa, seladang, babi hutan, dan kuda. Setiap gambaran mencerminkan semangat binatang yang luar biasa. Binatang-binatang itu digambarkan dengan pelbagai gerak laku seperti lemah-lembut, kegagahan, kedamaian dan keikhlasan. Lukisan ini kadangkala ada juga menunjukkan figura orang memburu atau berlawan. Figura yang dilukis adalah dengan bentuk seperti ‘orang lidi’ atau ‘stick figures’.

Zaman Mesolitik pula bermula daripada tahun 15,000 SM hingga 10,000 SM. Pada masa zaman Paleolitik telah mengalami glasier, manusia primitif ini telah meninggalkan gua–gua yang mereka diami dan berpindah untuk mencari kawasan yang tanah-tanihnya lebih subur untuk bercucuk-tanam. Peralatan-peralatan batu telah dihalusi. Beberapa lukisan telah ditemui yang membuktikan wujudnya kebudayaan di utara Afrika dan timur Sepanyol. Lukisan-lukisan pada zaman ini kelihatan lebih detail daripada zaman Paleolitik. Di mana lukisan-lukisan di zaman Paleolitik dilukis di hujung-hujung gua, lukisan-lukisan pada zaman ini kebanyakkannya dilukis di bahagian pintu masuk gua sahaja. Pada zaman ini, lukisan lebih berbentuk manusia daripada bentuk-bentuk binatang. Lukisan yang dilukis adalah menggambarkan kehidupan dalam masyarakat samada sewaktu berburu, berlawan atau dalam upacara istiadat. Lukisan juga lebih mementingkan gerakan daripada bentuk. Lukisan yang dihasilkan adalah menunjukkan pergerakan rentak binatang dan manusia. Tumpuan pada setiap pergerakkan adalah untuk menunjukkan bentuk semulajadi binatang. Terdapat juga bentuk-bentuk yang digayakan yang melambangkan perasaan mereka. Mesej yang cuba disampaikan adalah tentang pemburuan dan pengumpulan binatang di samping adat dan kehidupan kaum mereka. Lukisan-lukisan juga dibuat agar mendapat satu kuasa ghaib atau luar biasa dalam pemburuan mereka. Karya-karya juga mula memperlihatkan corak-corak untuk menambah lagi kesan-kesan kuasa ghaib. Pada zaman ini juga, mereka menggunakan pelbagai bahan semulajadi yang ada di sekitar mereka untuk menghasilkan bahan catan. Untuk mendapatkan warna merah mereka menggunakan darah manakala warna hitam diperolehi daripada biji-bijian yang dihancurkan. Untuk mendapatkan warna hijau, tumbuhan  dan lemak binatang telah digunakan.

Zaman Neolitik ini bermula sekitar tahun 7,000 SM hingga 1,500 SM. Tumpuan penduduk adalah tempat tinggal di kawasan yang subur. Terdapat sistem buruh dan sistem perdagangan. Aktiviti kehidupan mereka adalah mengikut peredaran musim. Mereka berfahaman animisma. Pada masa ini telah wujud perkampungan dan perbandaran dan kehidupan berpindah-randah mula berkurangan. Binatang-binatang yang menjadi objek lukisan mereka ialah lembu, rusa, seladang dan singa. Lukisan-lukisan pada zaman ini ada yang digayakan dan ada yang berbentuk simbolik. Senirupa Neolitik merupakan karya yang dibuat secara realisma yang semula jadi. Mereka menggunakan tangan untuk membentuk garisan tebal dan nipis, manakala lorekan hitam digunakan di bahagian-bahagian yang terdapat nilai ton. Karya-karya yang dibuat pada masa ini adalah bertujuan persembahan kepada semangat dan roh datuk nenek moyang mereka, menunjukkan ilmu sihir ketika memburu binatang, mendapatkan semangat haiwan seperti keberanian, kepantasan dan ketangkasan. Mereka beranggapan karya-karya yang dihasilkan dapat menentukan nasib pemburu dan menyakitkan musuh, memperolehi kesaktian sewaktu memburu, menggambarkan corak cara hidup dan nilai budaya kaum mereka. Pada zaman ini, mereka menggunakan darah untuk menghasilkan warna merah manakala warna hitam diperolehi daripada manganam oksid, jelaga lemak atau arang. Warna coklat dan jingga diperolehi daripada biji-bijian yang dihancurkan dengan batu dan dicampurkan dengan darah haiwan, madu tumbuh-tumbuhan dan lemak haiwan. Warna-warna yang digunakan pada zaman ini adalah kebanyakkannya daripada kategori ‘earth colours’ seperti perang, kuning, merah, hitam dan sebagainya yang dicampurkan dengan lemak binatang. Warna ungu hitam diperolehi daripada oksid manganam yang terdapat dalam tanah liat. Manakala warna putih pula diperolehi daripada batu kapur. Tempat-tempat yang banyak ditemui lukisan zaman Neolitik ialah seperti di gua-gua di Perancis dan Sepanyol manakala gua-gua yang terkenal didapati kesan-kesan seperti ini adalah seperti gua Altamira dan Lascaux.

No comments:

Post a Comment