Sunday 1 May 2011

CETAKAN

Cetakan ialah proses terapan blok atau plat. Proses ini melibatkan penciptaan plat yang dapat menghasilkan pelbagai imej. Kesan permukaan yang dicetak itu boleh dilakukan ke atas bahan seperti linoleum, styrofoam, logam, kadbod dan bahan-bahan lain. Blok atau plat cetakan boleh disediakan dengan memotong, mengguris, etching, atau melukis. Kemudian dakwat diletakkan ke atas blok atau plat tersebut dengan pelbagai teknik. Kertas dicetak dengan cara menekap ke atas blok melalui gosokan tangan atau menggunakan mesin cetak.

Cetakan mempunyai keistimewaan iaitu dapat menghasilkan beberapa keping hasilan yang sama disebut edisi. Tiga atau empat cetakan yang pertama, biasanya berbeza dengan edisi cetakan selepas itu. Cetakan pertama ini dinamakan 'artist’s proofs' (AP). Bilangan siri cetakan ini dinamakan edisi dan proses cap-mengecap ini boleh menyebabkan blok atau plat rosak dan bilangan edisi dalam cetakan berakhir. Pada setiap bahagian bawah cetakan, akan terdapat bilangan edisi cetakan yang dihasilkan. Simbol yang mewakili cetakan adalah berupa simbol nombor seperti 5/25 yang merujuk kepada cetakan ke 5 daripada 25 cetakan. Di bahagian tengah ditulis tajuk cetakan dan di bahagian kanan tercatat nama artis dan tarikh cetakan itu dilakukan.

 SEJARAH CETAKAN

Sejarah cetakan bermula pada tahun 3000 SM apabila cetakan timbul telah dihasilkan oleh orang Sumeria dengan salinan imej kulit kerang di atas tanah liat yang berbentuk empat segi. Teknik cetakan kayu ialah yang paling awal dan pertama kali muncul di Negara China pada kurun ke-8. Cetakan mula berkembang di Eropah sekitar tahun 1418 masihi dan digunakan untuk mencetak rekaan pada kain. Kemudian cetakan dikembangkan untuk kegunaan pendidikan, keagamaan, propaganda dan tekstil untuk pakaian.

Cetakan  berwarna diperkenalkan pada kurun ke-15 Masihi dan pada kurun ke 16, cetakan muncul mencapai status sebagai satu bentuk seni yang penting dengan penghasilan Karya Albrecht Durer dan karyawan seni daripada Eropah Utara. Di Malaysia, cetakan bermula dengan mencetak kain batik sarung.

Secara umumnya, cetakan boleh dibahagikan kepada cetakan timbulan, benaman, cetakan planograf atau litografi dan cetakan stensil, saringrafi atau Sutera Saring. Cetakan blok kayu buatan tangan muncul pada abad ke-7 Masihi di China. Industri cetakan mono blok kayu buatan tangan muncul dan berkembang di negara Barat pada abad ke-14 Masihi.  Pada  masa tu, kemahiran mencetak digunakan untuk mencetak  bahan-bahan keagamaan, untuk hiasan ilustrasi buku, poster untuk komunikasi, propaganda, bahan pendidikan, dan sebagainya.

Penggunaan warna dalam cetakan diperkenalkan pada pertengahan abad ke-15. Di Malaysia, cetakan kayu digunakan untuk mencetak kain sarung (kain terap hitam) sebelum kaedah lilin dari Jawa diperkenalkan. Cetakan kemudian muncul menjadi salah satu cabang seni  halus yang unik. Kini, Industri cetakan yang menggabungkan teknik canggih melalui pembantuan perisian komputer serta kemahiran seni grafik yang bermutu tinggi telah berjaya menjadikannya satu saluran seni yang agak unik.

No comments:

Post a Comment