Monday 25 April 2011

ANYAMAN

SEJARAH ANYAMAN

Anyaman berasal daripada tumbuhan jenis Pandanus (pandan dan mengkuang) boleh didapati dengan banyaknya di Asia. Tumbuhan jenis ini boleh didapati bermula dari kawasan Mauritius di Lautan India, India Selatan, Siam, Indo-China, Malaysia sehingga di sepanjang Kepulauan Pasifik. Pelbagai jenis rupa dan bentuk kraftangan boleh dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman daripada jenis tumbuhan pandanus ini. Bentuk-bentuk anyaman pula dibuat berdasarkan kepada fungsinya. Contohnya bagi petani atau nelayan, kerja anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk seharian.

Daripada semua jenis tumbuhan ini, pandanus merupakan bahan paling terkenal terutama untuk anyaman bakul dan tikar. Di Kelantan, pada zaman pemerintahan Long Yunus (1756-1794) telah terdapat penggunaan ‘ tikar Raja’ yang diperbuat daripada rotan tawar dan bemban. Daun pandan dan mengkuang digunakan lebih terkemudian.

Tulisan mengenai seni anyaman daripada jenis tumbuhan pandan ini adalah berdasarkan kegiatan yang dilakukan di Rusila, Kuala Terengganu. Terdapat satu bengkel yang dikelolakan oleh PKKM. Pusat seni anyaman Terengganu terletak di daerah dan kampung-kampung berhampiran. Bermula dari Dungun, Marang, naik ke utara di sepanjang pantai menuju ke Kuala Terengganu iaitu Kampung Rusila, Rhu Renggeh, Kijing, Chendering dan Kuala Ibai.

Kampung Rusila terletak 10 kilometer ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di kawasan pinggir pantainya dipenuhi pohon-pohon pandan.Tumbuhan ini hidup subur meliar di sekitar belakang rumah penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada para nelayan. Ramai penganyam yang mahir berasal dari kampung ini, misalnya Puan Minah Mohammad, Puan Wook, Puan Mariam dan pembantu mereka, Puan Semah Taib. Terdapat lebih kurang lima puluh satu kelarai telah dapat diperkenalkan oleh mereka. Selain daripada menganyam, mereka juga telah dilantik sebagai tenaga pengajar di Pusat Kraftangan Chendering. Puan Wook pernah memenangi beberapa pertandingan menganyam dan pernah dibawa ke Amerika Syarikat bagi mempromosikan kraftangan Malaysia.

BAHAN ASAS MENGANYAM

Bahan asas dalam menganyam secara tradisional ialah pandan dan mengkuang. Terdapat juga beberapa jenis bahan yang lain seperti rotan, tali, buluh dan sebagainya tetapi tidak begitu popular. Masyarakat Melayu menggolongkan pandanus kepada dua jenis iaitu pandan dan mengkuang. Menurut Burkill, terdapat sekurang-kurangnya lima jenis pandan di Malaysia iaitu:
  1. Pandan duri ( pandanus octracapus )
  2. Pandan bunga/pandan perah/pandan ikan ( pandanus aurantiacus )
  3. Pandan hutan ( pandanus haoulitti )
  4. Pandan laut ( pandanus tectorius )
  5. Pandan tikus/selangseng/sendayan ( pandan oratus )
Dua jenis pandan yang biasa digunakan di Terengganu ialah pandan perah dan pandan laut. Pandan perah lebih dikenali sebagai pandan minyak di sini. Biasanya tumbuh subur di lopak air masin, alur sungai agak jauh daripada laut. Pandan laut pula tumbuh di tepi-tepi pantai.Mengkuang juga termasuk jenis pandanus. Ia tumbuh subur di kawasan lopak-lopak belukar dan sawah padi yang lembab. Masyarakat Melayu membezakan jenis pandan dan mengkuang berdasarkan tempat tumbuhnya. Perbezaan juga sebenarnya dapat dilihat daripada segi fizikal. Hasil ciptaan dari kedua-dua jenis bahan ini adalah berbeza terutama dari segi mutunya.

ALATAN MENGANYAM

Selain daripada persediaan bahan asas, penganyam juga harus menyediakan beberapa alat kelengkapan lain sebelum proses menganyam dimulakan. Terdapat beberapa alatan yang diperlukan untuk menyediakan bahan untuk menganyam seperti parang, jangka, pelurut, penyisip, tempayan, besen, periuk, dapur dan ampaian.


PROSES PENYEDIAAN DAUN

Proses penyediaan daun bermula daripada mengambil daun dari pokok hinggalah daun itu sesuai untuk dianyam. Antara proses-proses yang perlu dilakukan ialah pemilihan dan pemotongan daun, melayur daun, menjangka daun, melurut dan merendam.


PEWARNAAN

Proses pewarnaan pandan/mengkuang terbahagi kepada dua cara, iaitu cara tradisi dan moden. Proses pewarnaan secara tradisi sudah kurang digunakan lagi kerana prosesnya yang agak rumit.

Proses Pewarnaan Tradisi

Pewarnaan secara tradisi tertumpu kepada penggunaan bahan tempatan (vegetable dye) seperti kunyit, buah kesumba India dan daun mengkudu. Warna-warna yang dihasilkan ialah kuning, merah dan biru kehitaman.

Pewarnaan Cara Moden

Pewarnaan secara moden pula menggunakan bahan pencelup ‘dyestuff’ (semasa basic) serta beberapa bahan kimia sebagai bahan pembantu. Bahan pewarna ini berbentuk hablur atau serbuk. Warna-warna dihasilkan bergantung kepada jenis pewarna serta teknik pencelupan yang digunakan.

Peringkat awal, air dipanaskan hingga mendidih dan dicampurkan dengan bahan pewarna. Ia kemudiannya dibancuh dan dikacau. Bilah-bilah pandan / mengkuang yang telah ditongkolkan, dicelup ke dalam bancuhan pewarna tersebut.Tempoh masa yang diperlukan bergantung kepada warna yang dikehendaki, biasanya tongkol pandan/mengkuang dicelup selama antara 15 hingga 20 minit.

Selepas dicelup, tongkol-tongkol pandan/mengkuang diangkat dan dibiarkan seketika untuk sejuk. Tongkol-tongkol ini kemudian dibasuh dengan air biasa atau air sabun. Ikatan tongkol dibuka dan dijemur hingga kering di tempat yang redup atau jauh dari cahaya matahari bagi mengelakan warna daripada pudar.

 PROSES DAN TEKNIK ANYAMAN

Proses anyaman adalah proses yang rumit dan perlu dilakukan dengan teliti. Kesabaran juga perlu kerana proses ini memakan masa yang agak lama untuk menyiapkannya bergantung kepada saiz anyaman yang dilakukan. Proses anyaman mempunyai lima peringkat iaitu lagang, anyaman, melurut, sisip dan kerat.

No comments:

Post a Comment