Monday 25 April 2011

CATAN

Catan adalah hasil bahantara pigmen warna pada permukaan rata seperti kertas, kanvas, dinding, plat, papan board dan sebagainya. Jenis bahan yang sering digunakan untuk menghasilkan catan adalah cat tempera, cat minyak, cat air, cat poster, guache, akrilik dan cat kapur (pastel). Media catan yang tertua sekali ialah tempera. Catan merupakan suatu medium yang membolehkan pelukis meluahkan perasaannya, membuat interpretasi pandangannya ataupun merakamkan gambaran yang dirasai atau dilihatnya dalam bentuk imej visual. Selain daripada kemahiran menggunakan  media pilihannya, pelukis juga perlu  peka terhadap prinsip-prinsip dan asas seni serta mempunyai kebolehan membuat penerokaan yang jauh dan mendalam mengenai gaya persembahan. Tujuannya supaya hasil karya yang bermutu dan mempunyai identiti tersendiri serta nilai estetika yang tinggi akan terhasil. Catan juga merupakan salah satu cabang seni tampak yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Perkembangan seni tampak di Malaysia makin terserlah dengan lahirnya pelukis-pelukis seperti Syed Ahmad Jamal, Mohd. Hossein Enas, Jaafar Taib, Mazli Mat Som, Cheong Lai Tong dan lain-lain lagi. Mereka telah mewarnai seni tampak di  negara ini. Seni  tampak di Malaysia sememangnya tidak dapat lari daripada dipengaruhi oleh aliran-aliran barat. Terdapat pelbagai aliran yang dipelopori oleh para pelukis ini.

SEJARAH CATAN

Sejarah seni catan bermula sejak zaman Yunani Purba. Media yang digunakan pada masa itu adalah fresco dan mozek. Subjek catan kebanyakannya menggambarkan peristiwa yang berkaitan dengan adat istiadat dan agama. Pelukis Yunani yang terkenal ialah Polyguotos, Zeuxis, Protogenis dan Apelles. Zaman Renaisance atau dikenali sebagai zaman kelahiran semula merupakan zaman kemuncak seni lukis di Eropah. Zaman Renaisance boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ’Renaisance Peringkat Awal’ (1378– 1500 TM), ‘Renaisance Peringkat Kemuncak’ (1500TM -1530 TM) dan 'Renaisance Peringkat Akhir’ (1530 TM –1600 TM). Media catan yang popular pada masa itu ialah fresko, cat tempera, cat minyak dan cat air. Subjek catan kebanyakkannya menggambarkan peristiwa kitab suci agama Kristian, potret dan peperangan. Gaya catan pada zaman itu semuanya dalam bentuk realistik. Terdapat ramai pelukis realisme yang masyhur pada zaman itu. 

No comments:

Post a Comment