Sunday 24 April 2011

KEPENTINGAN RESIS

Terdapat beberapa kepentingan yang bakal diperolehi sekiranya mempelajari teknik resis di sekolah rendah. Di antaranya adalah murid dapat meneroka dengan lebih jauh lagi tentang alatan serta bahan dalam kegiatan menggambar. Melalui teknik resis dalam proses menggambar ini adalah merupakan satu kegiatan yang sangat menarik untuk dijalankan terutama sekali bagi murid-murid pada peringkat sekolah rendah. Oleh kerana penghasilan resis ini menggunakan media yang berlainan, ianya dapat menarik minat murid untuk melakukannya. Kebiasaannya murid hanya didedahkan dengan penggunaan pensil atau pensil warna sahaja, tetapi melalui teknik resis ia menggunakan alat utamanya iaitu lilin atau warna krayon. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kebosanan murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah. Murid dapat menggunakan pelbagai alat dan bahan untuk menghasilkan gambar mengikut cara ekspresinya yang tersendiri. Ini sekaligus dapat membantu proses perkembangan murid dari aspek psikomotor dan juga emosi serta amat penting dari aspek keperluan fisiologi dan psikologi murid.
Melalui teknik resis ini juga, murid-murid dapat mengalami pengalaman langsung dengan derianya mengenai subjek atau hal benda yang digambarkan. Ini dapat membantu murid dalam memahami sesuatu idea dan menghubungkaitkan antara satu idea dengan idea yang lain atau dengan pengetahuan dalam pelbagai mata pelajaran. Murid-murid dapat membina idea baru dari benda konkrit.  Teknik menggambar tidak hanya sekadar  sebuah lukisan, malah ianya boleh diterjemahkan dalam pelbagai medium dan kaedah. Penterjemahan idea secara teknik resis dapat member sedikit kelainan. Disamping itu juga, murid dapat meningkatkan kemahiran, kesedaran dan pengetahuan seni dalam menghasilkannya. Terdapat pelbagai kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid dalam proses menghasilkan resis ini. Selain kesedaran dan pengetahuan seni yang mendalam ia juga dapat member impak kepada penghasilan karya yang dihasilkan. Resis yang dihasilkan dapat mencerminkan tahap pengetahuan seni seseorang murid tersebut. Selain itu juga, ia dapat melatih murid untuk berfikir berhubung dengan asas rekaan dan prinsip rekaan. Melalui penghasilan menggambar dengan teknik resis, ia merangsang murid untuk berfikir serta menghubungkan idea sedia ada mereka dengan  asas-asas seni reka serta prinsip rekaan yang telah ditetapkan. Ini menunjukkan kesedaran persepsi murid-murid dan kuasa ekspresif ini dapat dicungkil supaya mereka boleh menyatakan perasaan mereka melalui resis. Ini menunjukkan murid telah melakukan ekspresi diri terhadap kehidupan mereka dalam bentuk gambaran. Melalui resis ini juga, ia dapat memberi satu pengalaman baru kepada kanak-kanak untuk berkarya. Jika sebelum ini murid hanya didedahkan dengan teknik lukisan sahaja, kini murid dapat meneroka dengan cara yang lebih mencabar lagi seperti teknik resis ini. Melalui resis ia mampu melatih murid untuk terus bersabar dan berkeyakinan dalam menghasilkannya. Ini kerana ia amat sukar untuk dilakukan dan memerlukan kepakaran dalam melaksanakannya.
Kesimpulannya ialah melalui teknik resis ini ia secara tidak langsung dapat menerapkan nilai-nilai murni terhadap sahsiah murid, selain memberi satu kemahiran kepada murid. Sebagai contoh, dalam menghasilkan resis, ia menuntut banyak kesabaran dalam menyiapkannya. Lukisan yang dihasilkan lebih menarik serta pengaplikasian media dan medium yang pelbagai serta mempunyai nilai estetika yang tinggi.

No comments:

Post a Comment